Peraturan dan Rutin Bilik Darjah
By: ANIS AINA BINTI ZINUDIN
Pembentukan peraturan
Menurut buku Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah karya Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel, peraturan membawa maksud kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Selain itu, peraturan juga merupakan satu bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai moral murid-murid. Peraturan bilik darjah ini adalah merupakan aspek yang fleksibel dan boleh dibentuk di dalam kelas melalui persetujuan daripada guru dan murid yang mana bertujuan supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Berdasarkan pengalaman kita sendiri, kita dapat melihat senario perkembangan pendidikan dari bangku prasekolah sehingga ke peringkat sekolah menengah mempunyai peraturan yang telah ditetapkan yang mana kita harus mematuhinya. Dalam konteks ini, peraturan yang dibentuk ini adalah berdasarkan keperluan murid di dalam sesebuah kelas. Guru yang berkesan akan membentuk peraturan yang mengikut keperluan murid-murid bagi memastikan murid memperoleh pengalaman pembelajaran yang berkualiti tanpa sebarang gangguan dan kekangan. Dengan adanya peraturan yang berkesan, sudah pasti suasana persekitaran yang kondusif. Namun begitu, peraturan yang dibentuk ini bukan sahaja bertujuan untuk menghukum malah bertujuan untuk mengurangkan gangguan dan meningkatkan kualiti hasil pembelajaran. Melalui kaedah ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan teratur, kemas, lancar dan berkesan.
Terdapat beberapa perkara yang harus diberikan penekanan dan perhatian oleh setiap guru.
Antaranya ialah:
Libatkan murid dalam membentuk peraturan di kelas
Melalui amalan demokrasi ini, murid berpeluang untuk menyatakan pendapat dan buah fikiran mereka. Dengan itu, murid akan berpendapat bahawa diri mereka juga adalah sebahagian daripada bilik darjah dan bukan hanya pemerhati.
Ayat peraturan haruslah pendek dan senang untuk difahami
Semasa membentuk sesuatu peraturan, ayat yang digunakan haruslah ringkas, tepat dan padat bagi memastikan dan memudahkan murid memahaminya serta membuatkan mereka tahu akan apa yang harus mereka lakukan semasa di bilik darjah.
Elakkan daripada membuat terlalu banyak peraturan
Peraturan yang dilaksanakan mestilah tidak terlampau banyak bagi mengelakkan kekeliruan berlaku dalam kalangan murid.
Guru sentiasa mengingatkan murid tentang peraturan yang mesti dipatuhi semasa menjalankan sesuatu aktiviti
Dengan adanya peringatan daripada guru, peraturan yang dibentuk akan berjaya dijalankan dengan konsisten, berkesan dan tiada permasalahan yang akan timbul di dalam bilik darjah.
Gunakan istilah yang positif
Penggunaan istilah yang positif akan lebih merangsangkan pelajar untuk tidak melakukan kesalahan berbanding penggunaan istilah yang negatif.
Elakkan penggunaan perkataan “Jangan...”
Pamerkan peraturan di bilik darjah
Melalui cara pameran ini, dapat memudahkan murid-murid untuk mengingati peraturan yang telah ditetapkan.
Sekiranya peraturan yang dilaksanakan tidak berkesan, guru haruslah sentiasa membuat pemantauan dan meneliti semula peraturan yang telah dibentuk agar disiplin pelajar dapat sentiasa dikawal. Pada masa yang sama, guru juga mestilah bijak untuk mengubah suai peraturan dan membuat penambahbaikan supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan dan lancar demi kepentingan bersama-sama.
Contoh Peraturan Kelas:
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rutin membawa maksud pekerjaan atau cara melakukan sesuatu yang telah menjadi kelaziman dan tidak berubah. Manakala, menurut buku Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah karya Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel, rutin merupakan prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti yang spesifik mereka di dalam bilik darjah. Dalam erti kata yang lain, rutin bertujuan untuk melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran, sama seperti peraturan. Rutin ini boleh dibentuk melalui perbincangan antara guru dan murid serta perlu sentiasa diberi peneguhan supaya prosedur-prosedur yang ditetapkan akan menjadi amalan di dalam bilik darjah lantas menjadi amalan budaya di sesebuah sekolah. Rutin yang sistematik dan teratur akan mewujudkan bilik darjah yang kondusif, selesa, semangat kekitaan serta menjimatkan masa dan tenaga guru. Dalam konteks ini, rutin selalunya diperkenalkan pada awal tahun agar dapat memberikan gambaran kepada murid-murid tentang bagaimana prosedur yang akan berlaku di dalam kelas.
Terdapat enam kriteria atau elemen yang perlu diaplikasikan di dalam bilik darjah.
Antaranya ialah:
Rutin kelas
Amalan yang dijalankan oleh sama ada murid atau guru. Sebagai contohnya, giliran murid bertugas mengikut jadual bertugas yang telah ditetapkan.
Rutin pentadbiran
Prosedur guru mencatat kehadiran, pungutan yuran laporan kemajuan murid, kad 001 murid dan kad kesihatan murid.
Pemulangan buku teks daripada Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).
Rutin pergerakan murid
Cara murid beratur sebelum masuk atau keluar dari kelas dengan tertib dan teratur.
Perlakuan murid semasa di kantin, di pusat sumber, di tandas, makmal komputer dan makmal sains.
Rutin pengurusan tugasan
Guru membuat persediaan terhadap tugasan atau pembelajaran dan pengajaran.
Guru memberitahu hasil pembelajaran yang diharapkan kepada murid sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.
Rutin pembelajaran
Amalan murid memungut buku latihan, mengagih bahan dan buku semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Rutin interaksi
Interaksi antara guru dan murid semasa perbincangan kelas atau kumpulan membuat ujikaji dan projek
Interaksi antara murid dan murid dalam menyiapkan sesuatu atau semasa pembelajaran di dalam bilik darjah.
Contoh Rutin Harian Kelas:
Hukuman dan Ganjaran
Hukuman
Hukuman membawa maksud kepada perkara yang tidak diingini oleh murid tetapi perlu diberikan kerana tingkah laku atau perilaku negatif.
Sebagai contohnya gred, denda dan gantung sekolah.
Gred adalah berkaitan dengan pengurangan markah atau gred murid di dalam akademik.
Manakala, denda pula adalah seperti menyuruh murid melakukan kerja berulang ataupun suruh berdiri di dalam kelas/luar kelas.
Akhir sekali, berkaitan dengan hukuman gantung sekolah, ini adalah bagi murid-murid yang melakukan kesalahan yang melampau atau mempunyai tingkah laku yang kronik. Sebagai analoginya, merokok dan membuli.
Ganjaran
Ganjaran membawa maksud kepada perkara yang ingin diperolehi murid kerana pencapaian, usaha dan tingkah laku yang positif dan baik.
Sebagai intihannya simbol, pengiktirafan dan aktiviti.
Simbol adalah berkaitan dengan pemberian sesuatu yang menaikkan semangat murid untuk terus konsisten iaitu seperti memberi cop bintang. Simbol juga boleh diberikan dalam bentuk nombor.
Pengiktirafan pula, memberi penganugerahan seperti memaparkan hasil kerja murid, sijil atau pengiktirafan secara lisan iaitu seperti memberi kata-kata pujian.
Manakala, ganjaran aktiviti adalah berkaitan dengan anjuran sesuatu program atau aktiviti. Sebagai contohnya, lawatan ke tempat bersejarah atau lawatan ke pesta buku.
Comments
Post a Comment